Friday, November 28, 2008

Kurma Madinah Dalam Sirah Nabawiyyah


bismillah hir rahman nir rahim

Penulis merupakan sahabat saya, Ustaz Husaini yang boleh dihubungi melalui emel beliau di wadelkhair 'at' gmail 'dot' com

Kurma Madinah Dalam Sirah Nabawiyyah

&

Pusat Penyelidikan Perubatan Nabawi Madinah Munawwarah

Pohon kurma berdiri tegak menjulang tinggi. Demikianlah manusia dalam Islam diajar bercita-cita tinggi. Mereka diajar memohon Firdaus yang tertinggi sekiranya ingin memohon syurga. Mereka berdoa waja3alna lil muttaqina imama. Mereka membaca ayat al-Quran bahawa: kamulah yang tertinggi sekiranya kamu beriman. Ketinggian cita-cita pada mereka itu juga adalah relatif sehingga mereka boleh bergerak seimbang antara idealisma dan realiti. Seandainya mereka memahami dan mentadabbur bacaan, doa dan zikir yang diriwayatkan dalam al-Quran dan hadis, mereka akan mendapati bahawa minda mereka diasuh dengan motivasi yang cukup indah untuk berjiwa besar, berlapang dada, memikul kasih sayang dan toleransi yang mulia bersama jiwa berkhidmat yang ikhlas kepada ummah dan kemanusiaan.

Pohon kurma tegap akarnya, bermanfaat setiap bahagiannya. Demikian manusia muslim kukuh keimananannya, bermanfaat setiap gerakannya. Ketawanya, tangisnya, gurauannya, peringatannya, dan usahanya membina kehidupan sekelilingnya adalah manfaat sepanjang masa untuk dunia dan akhirat. Dia cuba membuahkan harta dan kebahagiaan di dunia dan dia cuba mengukuhkan juga pelaburan untuk akhirat.

Demikian perumpamaan umum antara pohon kurma dan manusia. Pelbagai lagi persamaan antara pohon kurma dan manusia sehingga RasululLah mengangkat persamaan tersebut dan berteka-teki dalam majlis bersama para sahabat yang dijawab dalam hati oleh seorang anak muda yang tajam pemikirannya. Kebanyakan sahabat menyangka jawapannya pohon liar di padang pasir. Tapi anak muda ini berfikir: kalau ada pohon yang menyerupai manusia, itulah pohon kurma.

Antara aktiviti yang dijalankan sempena Pesta Kurma Dan Makanan Negara, Madinah Munawwarah ialah ceramah berkaitan kurma Madinah dalam sirah nabawiyyah yang disampaikan oleh pensyarah Universiti Islam Madinah Munawwarah. Terdapat juga gerai yang menjual kurma 3ajwah yang dibawa dari kawasan 3aliyah di Madinah. Kebiasaannya 3ajwah yang dijual di Pasar Kurma atau sekitar kawasan hotel penginapan adalah 3ajwah yang ditanam di Madinah. Namun, masyarakat arab membezakannya dengan 3ajwah yang dibawa dari kawasan Quba atau kawasan 3aliyah. Ini memandangkan sebuah hadis daripada Aisyah radhiyalLahu 3anha yang bermaksud:

((Sesungguhnya pada 3ajwah kawasan 3aliyah itu penyembuhan atau (seumpama) sejenis ubat keracunan di awal pagi.))

Rekod Imam Muslim dalam as-Sohih.

al-Qadhi 3iyadh menghuraikan: 3aliyah adalah sebuah kawasan di bahagian selatan Masjid Nabawi.

Menurut Imam Yahya an-Nawawi: Pada hadis-hadis ini terdapat kenyataan tentang keistimewaan kurma Madinah dan 3ajwah, serta kelebihan bersarapan dengan tujuh biji kurma tersebut. Demikian juga pengkhususan 3ajwah Madinah dengan kelebihan tersebut.

Seperti yang turut dinyatakan, 3ajwah kawasan lain selain 3aliyah juga turut diberi keistimewaan tersebut selagi ia diambil dari kawasan Madinah. Hadis RasululLah sollalLah alaihi wa sallam menyatakan:

Sesiapa yang memulakan pagi harinya dengan tujuh biji kurma 3ajwah, dia dapat membebaskan diri dari mudarat yang diakibatkan oleh racun atau sihir pada hari tersebut.

Menurut pengamal rawatan menggunakan 3ajwah, antara penyakit yang dilaporkan telah disembuhkan melalui amalan bersarapan dengan kurma 3ajwah ialah:

1. Penyakit saluran perkumuhan

2. Hormon dalam darah

3. Kencing manis

4. Anemia

5. Kanser

6. Kuman dalam hati

7. Lemah tenaga batin

8. Keracunan

9. Penyakit-penyakit dalam perut

10. Sopak

11. Gastrik

Demikian secara ringkas berkaitan kurma Madinah dalam Sirah Nabawiyyah dan terdapat pelbagai maklumat lain dalam soal ini. Para ilmuwan hadis telah membincangkan berkenaan perubatan zaman sirah sekian lama dan mereka berbeza-beza pandangan dalam menentukan kedudukan perubatan zaman tersebut dalam konteks perubahan zaman, lokasi dan suasana.

Antara buku yang merekodkan hadis-hadis berkaitan perubatan nabawi adalah at-Tibb an-Nabawiy karangan Ibnu as-Sunniy (meninggal 364 H) (saya tiada maklumat berkaitannya dan hanya pernah melihat nukilan dari manuskrip buku ini) dan at-Tibb an-Nabawiy karangan Abu Nu3aim al-Asbahaniy (meninggal 430 H) (telah dicetak).

Turut menyertai pameran tersebut ialah Pusat Penyelidikan Perubatan Nabawi Madinah Munawwarah. Antara yang diketengahkan ialah daun lidah buaya, barli, madu, bijian hitam, jintan dan lain-lain.

Sebagai contoh, daun aloe vera diriwayatkan berkenaannya sebuah hadis yang berbunyi: ((Sesungguhnya ia meremajakan wajah)).

Sepintas lalu, saya mendapati ilmuwan terdahulu berbeza pandangan berkaitan kedudukan hadis ini. Ia dijadikan hujah oleh Imam Malik dan diperkuatkan jalur laporannya oleh Ibnu Abdil Barr dengan jaluran lain. Direkodkan juga oleh Abu Daud dan an-Nasa2iy. Ibnu Hajar mengatakannya hasan seperti dalam Bulugh al-Maram. Namun, Abdul Haq mengatakannya dhoif seperti yang dinukilkan oleh al-Zaila3iy. Persoalannya ialah terdapat pelapor yang tidak diketahui identiti dan kredibiliti dalam jalur laporan hadis ini. Menurut Ibnu al-Qayyim dalam Zad al-Ma3ad: Sekurang-kurangnya hadis ini hasan. Wallahu a3lam.

Hadis lain berkaitan aloe vera menceritakan bahawa ia boleh merawat sakit mata seperti dalam Sohih Imam Muslim.

Demikian dan pelbagai lagi pameran berkaitan perubatan zaman sirah yang dipaparkan di sini. Semoga gambaran ringkas ini memberi manfaat buat anda.

ilal liqa' wa maas salamah

2 comments:

Anonymous said...

sedapnya kurma....

amirmukhtar said...

Mintak pos sket boleh bang? hehehe...