Thursday, November 27, 2008

tazkirah Aidil Adha

bismillah hir rahman nir rahim

Salinan daripada emel yang diterima untuk dikongsi bersama.


KULLU 'AM WA ANTUM BI KHAIRIN..

Bulan Zulhijjah, khususnya sepuluh hari awalnya adalah merupakan peluang
kedua selepas Ramadhan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredhaan,
keampunan dan pahala amalan.

Disebutkan oleh Nabi SAW :

"Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu" (Riwayat al-Bazzar ;
Albani : Sohih).

Allah SWT pula berfirman :

"Demi Fajar dan hari-hari yang sepuluh" ( Al-Fajr : 1).

Majoriti ulama menyatakan hari sepuluh itu merujuk kepada hari pertama
hingga sepuluh Zulhijjah dan bukannya sepuluh terakhir Ramadhan. (Zad
Al-Ma'ad, Ibn Qayyim).

Ia juga disebut oleh Nabi SAW dalam hadith lain :

"Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya
memperbanyakkan amalan dari sepuluh hari ini" (Riwayat Al-Bukhari).

AMALAN-AMALAN UTAMA

Manakala amalan-amalan yang digalakkan sepanjang sepuluh awal Zulhijjah
yang amat besar pahalanya ini antaranya :-

a) Zikir : Iaitu dengan memperbanyakkan zikir Subhanallah, Alhamdulillah,
La ilaha Illa Allah dan Allahu Akbar.

Ia bersumber dari hadith riwayat At-Tabrani yang diakui sohih oleh Imam
Al-Munziri. Allah SWT juga menyebut ertinya : "Supaya mereka menyaksikan
berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati
dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.." (Al-Hajj : 28).

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti 'hari-hari tertentu' adalah sepuluh hari
Zulhijjah ini dan inilah pendapat majoriti ulama jua.

b) Berpuasa : Amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah
bagi orang yang tidak menunaikan Haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah ) pula
adalah hari yang terbaik untuk berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah :

"Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari
Arafah" (Riwayat Muslim).

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini
menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

c) Melakukan lain-lain amalan seperti bersedeqah, membaca Al-Quran, solat
sunat dan lain-lain. Ia semuanya termasuk di dalam umum hadith yang
menunjukkan ianya amat disukai oleh Allah SWT.

d) Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa
yang masih berfikir-fikir dan menangguhnya. Amat biadap jika umat Islam
bersukaria dengan melampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi
Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini
sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

e) Bertakbir : Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa `Ali KW menunjukkan bahawa
permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga
hujung waktu 'Asar hari ketiga Tashriq.

f) Berkorban : Allah SWT berfirman : ertinya : "dan berdoalah dan
berkorban". Allah SWT juga menyebut :

Ertinya : "Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) mala ia adalah
dari tanda ketaqwaan hati" (Al-Hajj : 32)

Sebuah hadis menyebut :

Ertinya : "Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai oleh Allah SWT pada
hari kurban kecuali berkorban ( dengan menyembelih binatang)" ( Riwayat
At-Tirmidzi, Abu Daud ; Gharib, namun terdapat rawi yang dipertikaikan )

POTONG KUKU, RAMBUT & HUKUM QURBAN

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang
mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama
termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab
r.a, Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah berpendapat
ianya WAJIB bagi mereka yang berkemampuan. [1]

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk
melakukannya digalakkan menahan diri dari memotong rambut dan kuku. Ia
berdasarkan hadith riwayat Muslim yang sohih, iaitu :-

Ertinya : Barangsiapa yang ingin menyembelih ( berkurban ), dan telah masuk
sepuluh awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau
kukunya SEHINGGALAH sampai korban dilaksanakan" ( Muslim, 3/39 )

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali
menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun ia tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a
pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli
binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan,
tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk
menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah
sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Justeru, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika ia boleh mengganggu
kesempurnaan wudhu dan lain-lain kewajiban.

Tidak harus juga berqorban hanya dengan mengeluarkan harganya atau daging
lembu yang telah disembelih dari pasar lalu disedeqahkan atas niat Qurban.
Tatkala itu, ia dianggap sedeqah biasa sahaja dan bukannya Qurban yang
disyariatkan di hari raya Aidiladha.

Pahala Qurban adalah jauh lebih hebat dari bersedeqah harganya sahaja. Ia
adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik,
Syafie, Ahmad dan lain-lain. [2]

Adalah diingatkan jua agar meniatkan Qurban itu adalah kerana Allah SWT
semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya
untuk menyedeqahkan daging atau lain-lain niat.

Firman Allah :

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat
mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat
mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu
mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar
gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37)

KONGSI LEMBU

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan
dibahagikan kepada 7 bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadith Nabi
yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. [3]

Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau
menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadith pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah
yang ingin berqurban :

Ertinya : "Hadirkanlah dirimu di waktu sembelihan, diampunkan bagimu dari
titisan darah sembelihanmu yang pertama".

BINATANG TERBAIK UNTUK KURBAN

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri,
kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai
mendapat merasai dan manfaatnya.

PEMBAHAGIAN DAGING

Daging qurban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan SEPERTI BERIKUT
:

1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berqurban,

1/3 (sepertiga) kepada faqir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara
dan

1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Ia berdasarkan firman Allah SWT :

Ertinya : "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan
faqir." (Al-Haj : 28) dan juga firman Allah :

Ertinya "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan
yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan
Ibn Umar r.a. Namun demikian HARUS (DIBENARKAN) untuk tidak mengikut cara
pembahagian ini SAMADA UNTUK MAKAN KESELURUHANNYA ATAU KEBANYAKKANNYA. [4]

Bagaimanapun adalah dilarang untuk memberikan tukang-tukang lapah dan
penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal),
bagaimanapun ia harus jika dia termasuk dari kalangan faqir miskin atau
diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

TIDAK DIBENARKAN juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya.

Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil
qurban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan. [5]

DIBENARKAN untuk menyimpan daging-daging kurban walaupun melebihi 3 (tiga)
hari berdasarkan hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Muslim.

MEMBERI DAGING KORBAN KEPADA ORANG KAFIR

Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya
HARAM, ada yang mengatakannya MAKRUH dan Mazhab Hanbali, Hanafi
mengatakannya sebagai HARUS kerana ia bukannya sedeqah wajib. [6]

Namun tanpa khilaf adalah lebih baik untuk mendahulukan umat Islam dalam
hal ini.

BERKORBAN ATAU MEMBAYAR HUTANG

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan berkorban sekali
setahun demi tawaran pahalanya?.

Saya telah banyak mengulas berkenaan hutang dan pendirian Islam
berkenaannya. Sila rujuk di sini. Justeru, untuk menentukan keutamaan
samada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah kurban kita perlu melihat
kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang
berhutang.

Jika ia adalah dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti
hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu
individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak
rasmi dari individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan
datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu
barulah ibadah kurban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Ia adamat jelas kerana ibadah kurban hanya sunat muakkad sahaja menurut
majoriti mazhab manakala langsai hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan oleh ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi
hutang pula 'TERKORBAN', hubungan persaudaraan 'terkorban', atau hingga
menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar
sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang
berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

KORBAN OLEH ORGANISASI & SYARIKAT?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah
syarikat boleh mengeluarkan budjet tertentu untuk membeli dua puluh ekor
lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya:

"tidak boleh !"

Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau
untuk individu tertentu. Ia bukan untuk organisasi yang bukan manusia.
Justeru, ia sebuah organisasi ingin melaksanakannya, ia MESTI
menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu korban barulah sah dan ia menjadi korban oleh individu yang
ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat
terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya
DIHADIAHKAN kepada kakitangan secara khusus UNTUK DILAKSANAKAN sembelihan
atau korban, pahala korban akan hanya diperolehi oleh individu dan pihak
organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat
pahala kerana 'menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan
sahaja.

Jika pihak syarikat tidak mahu berbuat demikian, bermakna ia mestilah
meletakkan secara specific 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga
pengarahnya secara khusus juga. Ia bukan atas nama syarikat tetapi
individu.

APAKAH HAJI AKBAR ?

Nabi SAW menamakan hari sembelihan iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar.
(Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih : Ibn Qayyim dan Albani).

Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya tentang apakah itu Haji Akbar,
beliau menjawab:

"Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama). (Riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ulama itulah yang dimaskudkan di dalam ayat surat At-Taubah.

Bagaimanapun sesetengah ulama membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar
itu adalah Hari Arafah [7]. Setengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn
Abbas r.a dan Ibn Umar r.a yang menyatakan bahawa Haji Akbar itu adalah
hari arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70
kali pahala Haji biasa, Ia juga disebut oleh Imam al-Ghazzali, ini bermakna
pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan. Ia
berdasarkan satu hadith yang diriwayat oleh Razin dalam Tajrid as-Sihhah,
bagaimanapun al-Munawi menolak hadith itu dengan katanya "tiada asalnya".

Kesimpulannya : Terdapat para sahabat mengatakan Haji Akbar itu adalah hari
Arafah yang jatuh pada hari jumaat, mankala Ali k.w pula mengatakan ia
adalah hari Qurban pada 10 zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut
ia adalah semua hari-hari wuquf di Mina ( hari Tasriq).

Akhirnya, adalah amat perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya 'Idil adha
ini menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di
seluruh dunia ( kecuali jika benar-benar sesebuah Negara itu mengikut
rukyah), tanpa rukyah maka kiraan yang terbaik adalah dengan menuruti
Saudi. Dengan itu, kekeliruan yang sering berlaku sebagaimana mencari
Lailatul Qadar dan hariraya idilfitri akan berterusan. wallahu 'alam

Oleh : Ust. Zaharuddin Abd Rahman

[1] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/ 197

[2] Al-Majmu, 8/425 ; Al-Mughni, 9/436

[3] Al-Majmu, An-Nawawi, 8/313

[4] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/200

[5] Bidayatul Mujtahid, Ibn Rusd Al-Hafid, 1/321 ( cet Maktabah al-Riyadh
al-Hadithiyah) ; Rawdah At-Tolibin, An-Nawawi, 3/225

[6] Al-Mughni, Ibn Qudamah, 5/201

[7] Ahkam al-Quran, Al-Jassas


ilal liqa' wa maas salamah

No comments: